Wednesday, March 24, 2010

DUNIA.

i came across this article from this blog "langit ilahi" and i find it very enlightening so, i`ll share the article here. huhuhu

Perkongsian: Paip Air

Dunia. Macam-macam pengibaratan dunia. Ada yang kata ibarat sampah. Ada yang kata ibarat bangkai. Dan ada 1001 ibarat lagi.

Tapi, hari ini saya teringat pengibaratan yang diberikan oleh seorang guru saya, merangkap ayah angkat saya, bernama Rosdi Baharom. Ya, kalau anda perasaan, dia ini saya ada ceritakan di dalam Langit Ilahi 1: Tuhan Tidak Lupakan Kita.

Dia pernah menyatakan kepada saya, bahawa dunia ini ibarat pili air.

Bila kita buka perlahan, kita rasa tidak puas. Kita akan buka lagi kuat. Rasa seronok dengan kekuatan arus air itu, kita bukan lebih kuat lagi. Sehinggalah akhirnya pemutar paip itu rosak. Dan air mencurah-curah tanpa henti dan tidak terkawal.

Dunia, takkan habis dikaut

Satu perkara yang perlu difahami manusia adalah, dunia ini tidak akan habis dikaut. Semakin diburu, semakin panjang perjalanannya. Semakin dituntut, semakin banyak tuntutannya ke atas kita. Dunia tidak akan membuatkan kita puas.

Ibarat meminum air laut. Dahaga itu tidak hilang. Bahkan akan terus dahaga dan bertambah dahaga.

Kalau kita mengejar dunia. Dunia tak akan habis dikejar. Akhirnya, dari impian hendak mempergunakan dunia untuk kepentingan diri kita, tanpa sedar dunia telah mempergunakan diri kita hingga ke pengakhiran yang sia-sia.

Dari Raja kepada Kuda

Allah SWT memberikan tanggungjawab kepada manusia untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Manusia adalah satu-satunya makhluk yang ditaklifkan untuk mentadbir bumi. Allah memberikan status ‘raja’ kepada kita, untuk mempergunakan bumi mengikut kehendak Allah SWT.

Tetapi, apabila kita lupa akan tugasan kita ini, kita tidak lagi mengambil neraca Allah SWT dalam urusan kehidupan kita, bahkan Allah langsung tidak menjadi matlamat kehidupan kita serta kita tidak mengaitkan langsung kehidupan kita dengan Allah SWT, maka di situ, status ‘Raja’ kita menjatuh.

Dari Raja, kita menjadi kuda.

Kuda kepada Dunia.

Kita ditunggangi, hingga keringat terperah-perah, hingga kepenatan, hingga keletihan.

Akhirnya kita rasa sempit.

Tidak mampu bangkit.

Sebab itu dunia di tangan.

Sebab itu saya suka dengan satu doa.

“Ya Allah, letakkan dunia di tanganku, jangan letakkannya di dalam hatiku”

Dunia ini adalah untuk kita manipulasikan. Bukan untuk dunia memanipulasikan kita.

Kita patut rasa hina bila kita terpesong keluar dari tujuan hidup sebenar. Yakni menjadi hamba kepada Allah SWT. Dari semulia-mulia hamba, menjadi hamba kepada Allah SWT, Yang Maha Perkasa, Yang Paling Berkuasa, kita telah merendahkan diri dan jiwa kita dengan menjadi hamba kepada dunia, hanya makhluk yang akan hancur bila Allah kata hancur.

Sebab itu, dunia bukan untuk kita kejar. Tetapi untuk kita guna pakai. Dunia bukan matlamat. Tetapi hanya wasilah. Dunia bukan tempat mendapat hasil, melainkan halaman untuk menanam bagi masa hadapan.

Islam mendidik kita bercukup-cukup dengan apa yang kita ada untuk diri kita.

Tetapi Islam tidak pernah mengajar kita bercukup-cukup dalam bergerak ke arah menjadi hamba Allah SWT.

Namun kita manusia tersilap. Bila puasa sunat sikit, buat amal sikit, qiamullail sikit, kita dah rasa banyak. “Cukuplah ni…” Dunia pula, kita kejar macam tidak sudah-sudah, macam tiada penat dan lelah. Penat lelah hanya wujud dalam hal-hal ibadah, yang berkaitan dengan Allah SWT.

Kasihan.

Itu tandanya, dunia sudah berada di dalam hati kita.

Mencengkam kuat.

Penutup: Tidakkah Islam itu cantik?

Islam, membawa manusia agar tidak tertipu dengan hal ini. Sebab itu wujudnya qan’ah, merasa cukup dengan apa yang kita ada buat diri kita. Islam memuliakan kita dari perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan terhadap Tuhan Kepada Segala Makhluk. Islam membebaskan kita dari kesempitan kehidupan dunia kepada keluasan kehidupan akhirat.

Islam mengajar kita mengawal nafsu, mengawal kehendak. Dengan keimanan, nafsu dan kehendak kita terantai dan siap untuk kita pandu ke arah kebenaran.

Justeru, kalau dunia diibaratkan sebagai paip, manusia yang beriman akan tahu berapa besar, berapa perlu, berapa kadar air yang hendak digunakan.

Orang beriman, tak akan teruja membuka paip air sebesar-besarnya, sehingga nanti pemutarnya rosak dan tidak terkawal.

Orang beriman, sentiasa mengawal dunia, di hujung telunjuknya. Itulah dia Yang Islam ajarkan.

Islam, tidak membiarkan kita tertipu dan terpesong dengan dunia.

Islam mendidik peribadi diri kita agar lebih mapan dan mantap.

Dunia tidak akan mampu meroboh tundukkan orang-orang beriman.

Tetapi orang-orang berimanlah yang akan membuatkan dunia tunduk melutut kepada mereka.

0 comments:

Post a Comment